Webinar Keselamatan Makanan Siri 1/2022: “Keracunan Makanan; Di Mana Silapnya?” | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » Webinar Keselamatan Makanan Siri 1/2022: “Keracunan Makanan; Di Mana Silapnya?”

Webinar Keselamatan Makanan Siri 1/2022: “Keracunan Makanan; Di Mana Silapnya?”

SERDANG, 18 Mac – Laboratori Keselamatan Makanan dan Integriti Makanan (FOSFI), Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Sains Makanan (JSM), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), UPM telah menganjurkan program Webinar “Keracunan Makanan; Di Mana Silapnya?” pada 18 Mac 2022. Webinar ini adalah siri Webinar Keselamatan Makanan kali pertama dianjurkan pada tahun 2022. Webinar selama hampir 2.5 jam ini telah dikemudikan oleh Dr. Mohd Hafiz Rosli, Pegawai Penyelidik FOSFI, selaku moderator, dan disampaikan oleh Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin, Penyelidik Bersekutu di FOSFI dan juga Pensyarah Kanan di JSM. Bidang kepakaran beliau ialah Keselamatan Mikrobiologi Makanan yang mempunyai kaitan rapat dengan kes-kes keracunan makanan. Jawatankuasa penganjur webinar ini terdiri daripada staf FOSFI.

Penceramah sedang menyampaikan informasi dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh.

Seramai lebih 500 orang peserta dari dalam dan luar UPM telah menyertai webinar ini. Antara pengisian webinar ialah perbincangan tentang sumber pencemaran makanan, penyakit bawaan makanan, pengendalian makanan selamat, kupasan kes-kes terkini keracunan makanan, dan salah tanggap masyarakat terhadapnya. Memandangkan webinar ini dijalankan secara umum, penyertaan adalah sangat memberangsangkan susulan pemilihan tajuk yang begitu relevan kepada segenap lapisan masyarakat. Penyertaan agensi kerajaan termasuk dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional, Kementerian Pertahanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Penyiaran, Jabatan Pertanian, Klinik Kesihatan Daerah, Makmal Kesihatan Awam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, dan Pejabat Kesihatan Daerah. Penyertaan IPTA/IPTS termasuk dari Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Malaysia, Kolej Komuniti Pasir Salak, Perak, Kolej Komuniti Arau, Perlis, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Vokasional Klang, Selangor, Kolej Vokasional Kuala Klawang, Negeri Sembilan, Kolej Vokasional Lahad Datu, Sabah, Kolej Vokasional Sandakan, Sabah, dan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Johor.

Taburan penyertaan webinar “Keracunan Makanan; Di Mana Silapnya?”

Secara keseluruhannya, webinar ini dilihat telah mencapai objektif penganjurannya iaitu untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan penghindaran pencemaran dan keracunan makanan. Berdasarkan maklumbalas yang diterima, kebanyakan peserta adalah sangat berpuashati dengan webinar ini di samping meminta untuk dipanjangkan jangkamasa webinar dan diadakan bahagian ke-2. Adalah juga diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan dalam usaha melahirkan masyarakat yang cakna dengan keselamatan makanan dan mengamalkan pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan seharian mereka. Semua peserta yang hadir telah diberikan e-sijil dan peserta dari UPM turut memperolehi mata kredit Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).

Tarikh Input: 23/03/2022 | Kemaskini: 23/03/2022 | noordiana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
SXDcXAE~