Serdang, 22 Mac – Majlis Iftar Alumni UPM dan Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) 2.0 bagi tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Restoran L’Apprenti, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama antara Persatuan Alumni UPM, FSTM, dan Pusat Perhubungan Alumni UPM sebagai salah satu inisiatif memperkukuh jaringan alumni universiti.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, disusuli ucapan oleh Timbalan Dekan (Pembangunan dan Jaringan) FSTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Nur Hanani binti Zainal Abedin dan Presiden Persatuan Alumni UPM, YBhg. Dato' Raihan Sharif. Kedua-dua ucapan menekankan kepentingan peranan alumni dalam menyumbang kepada pembangunan universiti dan kesejahteraan masyarakat secara holistik. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.
Program diteruskan dengan sesi SEBA yang menampilkan alumni jemputan, Tuan Mohd Safzan Mohd Mukhtar (kelas 2004), Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM. Beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk “Dari Dewan Kuliah UPM ke JAKIM: Perjalanan, Ilmu dan Tanggungjawab Halal”, yang memberikan pandangan mendalam tentang industri halal serta pengalaman beliau dalam memperkasa sistem pengurusan halal negara.
Sebagai tanda penghargaan, penyampaian cenderahati kepada penceramah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad.
Majlis ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Mohamad dari FSTM dan berjaya menghimpunkan lebih 100 tetamu yang terdiri daripada alumni pelbagai latar belakang dan wakil industri. Turut diadakan ialah kutipan sumbangan bagi membantu alumni yang kurang berupaya.
Majlis seperti ini diharap dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh ikatan antara alumni dan alma mater, serta menyemai semangat kebanggaan dan keterikatan terhadap UPM dalam kalangan alumni.
Date of Input: 24/03/2025 | Updated: 24/03/2025 | shuhada_md

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA