
Oleh: Noor Eszereen Juferi dan Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri
Foto Oleh: Mozaid Idris
SERDANG, 18 November – Seramai 40 pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), membuktikan keupayaan mereka mengoperasikan perkhidmatan hospitaliti bertaraf industri melalui penganjuran program semi fine dining bertemakan “LÄ€HUI: Echoes of Maui”.
Program berkenaan merupakan komponen penilaian utama kursus yang mengintegrasikan operasi sebenar perkhidmatan makanan, merangkumi keseluruhan proses daripada pembangunan konsep menu hingga penyampaian hidangan kepada tetamu.
Penyelaras program, Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin, berkata penganjuran tersebut menjadi platform latihan intensif untuk mendedahkan pelajar kepada persekitaran kerja profesional dan keperluan sebenar operasi.
“Pelajar mengurus keseluruhan rantaian penyediaan perkhidmatan makanan termasuk perancangan menu, koordinasi dapur, pengurusan kos, kawalan keselamatan makanan, penyediaan hidangan serta aspek hospitaliti. Semuanya memerlukan ketelitian dan disiplin yang sama seperti di restoran berprofil tinggi,” katanya.

Beliau berkata, lima menu bertemakan budaya kulinari Kepulauan Hawaii dipilih bagi mencabar kreativiti dan kefahaman pelajar terhadap pembangunan menu antarabangsa serta keupayaan mengurus operasi kompleks.
“Kesemua hidangan dirangka dan disediakan sepenuhnya oleh pelajar di bawah penyeliaan akademik, menepati piawaian industri kulinari dan hospitaliti,” tambahnya.

Bagi pelajar Bachelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan (BSPPM), FSTM, Nur Izzaty Aqilah Arman, aspek komunikasi bersama pelanggan merupakan cabaran paling kritikal dalam memastikan kelancaran majlis.
“Apabila ada situasi yang tidak dijangka berlaku di dapur, saya perlu kekal tenang dan meyakinkan pelanggan. Ini latihan dunia sebenar yang mematangkan kami,” katanya.
Rakannya, Muhammad Syamil Haqim Shahrizan, berkata pengalaman itu melengkapkan penyediaan mereka sebelum memasuki industri sebenar.

“Selain kelas, kami perlu melengkapkan 200 jam latihan industri. Kami belajar kemahiran asas dan teknikal seperti menyiang ayam, memotong herba, teknik penyediaan sayur, membuat pastri dan proses ‘mass production’,” katanya.
Pelajar lain, Ainul Mardhiyah Mohd Azlan, berkata kekuatan program BSPPM ialah kurikulumnya yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada ilmu dan kemahiran pengurusan makanan dari tahun pertama hingga tahun akhir.
“Daripada mengira kos, memilih bahan, memadankan hidangan, menentukan kaedah masakan hingga ke plating akhir, semuanya kami pelajari secara terperinci. Ia membentuk kemahiran yang diperlukan untuk memasuki industri,” katanya.
Date of Input: 19/11/2025 | Updated: 19/11/2025 | eszereen

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA