Siri Alternatif Protein 1: Serangga Sebagai Makanan - Nutrisi Dan Risiko | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN food
» ARTIKEL » Siri Alternatif Protein 1: Serangga sebagai Makanan - Nutrisi dan Risiko

Siri Alternatif Protein 1: Serangga sebagai Makanan - Nutrisi dan Risiko

Dari perspektif budaya, belalang sudah menjadi makanan ruji di banyak kawasan di Afrika, Asia, dan Amerika Selatan. Mereka adalah antara serangga yang secara jumhurnya dianggap Halal dan Kosher, menjadikannya sumber protein yang boleh diterima untuk komuniti Muslim dan Yahudi. Dikenali sebagai "protein biblikal," belalang turut menjadi sebahagian daripada diet Yohanes Pembaptis, menonjolkan kepentingan sejarah pemakanan belalang yang turut melibatkan agama Kristian.

Komposisi utama belalang adalah terdiri daripada protein, yang membentuk antara 35-77% daripada berat kering mereka. Kandungan protein yang tinggi ini melebihi sumber protein haiwan dan tumbuhan tradisional seperti daging lembu, ayam, ikan, soya, dan jagung. Protein dalam belalang kaya dengan asid amino penting seperti fenilalanin, valin, treonin, triptofan, isoleusin, metionin, leusin, dan lisin, yang penting untuk pembangunan badan dan mesti diperoleh daripada diet.

Sementara itu, kandungan karbohidrat dalam belalang berbeza antara 4.05% hingga 5.51%, terutamanya dalam bentuk glikogen dan kitin. Kitin, komponen utama eksoskeleton serangga, juga berfungsi sebagai serat pemakanan. Walaupun serangga mengandungi pelbagai jumlah kitin, belalang mempunyai kandungan kitin yang agak rendah sekitar 2%, yang meningkatkan pencernaan dan keterlarutan protein mereka. Tahap kitin yang rendah ini menyumbang kepada kualiti pemakanan yang lebih baik dan meningkatkan bioavailabiliti protein dalam belalang.

Lemak adalah nutrien kedua terbesar dalam belalang, yang terdiri daripada asid lemak penting seperti omega-3 dan omega-6. Asid lemak poli tak tepu ini bermanfaat untuk kesihatan, mengurangkan risiko diabetes dan menurunkan tekanan darah. Cengkerik, saudara kepada belalang, mempunyai kandungan asid lemak tak tepu yang tinggi, termasuk asid linoleik dan asid oleik. Belalang juga mengandungi sehingga 67% lemak, dengan tahap asid palmitoleik, linoleik, dan α-linolenik yang ketara.

Belalang kaya dengan mikronutrien, termasuk kalium, natrium, kalsium, kuprum, besi, zink, mangan, dan fosforus. Mereka juga mengandungi pelbagai vitamin seperti A, B1, B2, B6, B12, C, D, E, dan K. Kandungan vitamin yang tinggi dalam belalang menjadikannya sumber makanan atau suplemen alternatif yang sangat baik, terutama untuk populasi yang kurang zat makanan. Sebagai contoh, belalang gurun mempunyai tahap kalsium, besi, dan zink yang ketara, setanding atau lebih tinggi daripada yang terdapat dalam kambing, daging lembu, dan babi. Mereka juga merupakan sumber vitamin D3, A, dan E, yang sering tidak terdapat dalam sumber daging tradisional. Selain itu, belalang migratori mengandungi tahap vitamin B12 (cobalamin) antara lima hingga sepuluh kali lebih tinggi daripada daging lembu, menjadikannya ia sebagai sumber vitamin yang unggul. Tambahan pula, untuk yang memilih gaya hidup vegan, vitamin B12 adalah antara vitamin yang paling sukar diganti dari makanan berasaskan tumbuhan kerana sumber utamanya adalah dari haiwan. Vitamin B12 adalah penting dalam meningkatkan kesihatan asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesihatan darah, dan menjadi pelengkap kepada vitamin B( (asid folik).

Serangga, walaupun berkhasiat dan mampan, boleh menjadi takungan mikroorganisma berbahaya. Mereka boleh membawa dan menyebarkan pelbagai patogen, termasuk bakteria, kulat, dan virus, yang menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia. Serangga yang boleh dimakan boleh mengandungi bakteria patogen seperti Staphylococcus aureus, Clostridium spp., dan Bacillus cereus. Kajian menunjukkan bahawa mendidihkan serangga seperti belalang dan cengkerik boleh mengurangkan jumlah bakteria dengan ketara, tetapi cara penyimpanan yang salah boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria dan kerosakan. Kulat, termasuk yis dan fungus, boleh terdapat pada serangga hidup dan mati. Sesetengah kulat menghasilkan mikotoksin, yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan sukar dihapuskan. Mikotoksin lazimnya dihasilkan oleh kulat Aspergillus yang didedahkan dengan situasi tekanan, seperti haba, kelembapan atau kaedah penyimpanan yang tidak kondusif. Mikotoksin diklasifikasikan sebagai mutagen yang boleh menyebabkan perubahan asid deoksiribonukleik (DNA) dan seterusnya menjurus kepada pertumbuhan kanser terutamanya di bahagian hati. Kaedah pembungkusan, penyimpanan, dan pengangkutan yang betul adalah penting untuk mencegah pencemaran kulat selepas pemprosesan. Selain itu, kaedah penternakan yang betul, seperti mengosongkan bahagian perut serangga sebelum penuaian boleh mengurangkan risiko mikroorganisma usus dan beban toksin.

Sebagaimana makanan kaya protein yang lain, serangga boleh menyebabkan reaksi alahan akibat kehadiran protein yang menyerupai protein dalam makanan laut (krustasea), seperti tropomyosin. Orang yang alah kepada makanan laut mungkin juga bertindak balas terhadap protein serangga. Reaksi alahan termasuk masalah perut, ruam kulit, dan masalah pernafasan. Oleh itu, pelabelan dan pendidikan pengguna yang betul adalah penting untuk mencegah reaksi alahan.

 

Rajah: Proses-proses pembuatan tepung serba guna serangga untuk kegunaan industri makanan Pengeringan lazimnya dibuat selepas belalang di”puasa”kan untuk mengurangkan kehadiran kuman dalam perut serangga (Mohd Zaini et al., 2023).

Rujukan

  1. Suresh, Suganisha, Nurul Solehah Mohd Zaini, Muhamad Hafiz Abd Rahim, and Nurul Hawa Ahmad (2023). Insects and worms as an alternative protein source in the halal food industry. In Innovation of Food Products in Halal Supply Chain Worldwide, pp. 127-148. Academic Press, 2023.
  2. Mohd Zaini, Nurul Solehah, Elicia Jitming Lim, Nurul Hawa Ahmad, Ashwini Gengatharan, Wan Abd Al Qadr Imad Wan-Mohtar, and Muhamad Hafiz Abd Rahim (2023). The review of cooking, drying, and green extraction methods on general nutritional properties of mealworms and locusts. Food and Bioprocess Technology 16, no. 9 (2023): 1904-1918.

Tarikh Input: 27/03/2025 | Kemaskini: 27/03/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5100
Tiada
X, (06:13:32pm-06:18:32pm, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]