PENGANJURAN KURSUS CERTIFIED INTERNAL AUDITOR IN ISO 22000 | FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
» NEWS » PENGANJURAN KURSUS CERTIFIED INTERNAL AUDITOR IN ISO 22000

PENGANJURAN KURSUS CERTIFIED INTERNAL AUDITOR IN ISO 22000

SERDANG, 11 DISEMBER 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Certified Internal Auditor (CIA) bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan ISO 22000:2018. Kursus intensif selama tiga hari ini berlangsung dari 8 hingga 10 Disember 2025 di BKS 2, Food 5. Seramai 21 orang pelajar tahun akhir daripada tiga program pengajian – Bacelor Sains Teknologi Makanan, Bacelor Sains Pengajian Makanan, dan Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan – telah menyertai kursus ini.

Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Noor Azira Abdul Mutalib, kursus ini dirangka khusus untuk melengkapkan bakal graduan dengan kemahiran praktikal serta pengiktirafan industri yang bernilai tinggi. Sijil Internal Auditor yang diperoleh menjadi nilai tambah yang signifikan dalam resume peserta.

Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada:

  • Interpretasi mendalam setiap klausa dalam standard ISO 22000:2018
  • Prinsip-prinsip audit mengikut piawaian antarabangsa
  • Teknik pelaksanaan audit dalaman yang berkesan

Aktiviti teras kursus merangkumi bengkel simulasi audit praktikal, di mana peserta berpeluang menjalankan audit, menemu bual auditee, menyemak dokumentasi, dan menyediakan laporan audit. Kursus ini dikendalikan oleh Pn. Nurfatiha Zainal, trainer berpengalaman dari Platinum Shauffmantz Veritas, yang telah memberikan bimbingan mendalam dan praktikal kepada peserta.

Para peserta menyatakan kepuasan terhadap kursus ini kerana teori keselamatan makanan yang dipelajari di kuliah dapat diaplikasikan secara sistematik dalam pengurusan sebuah syarikat. Kemahiran audit yang diperoleh diyakini akan memberi kelebihan dalam kerjaya mereka. Pada akhir kursus, semua peserta menjalani penilaian, dan mereka yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Certified Internal Auditor ISO 22000 yang diiktiraf. Sijil ini dijangka meningkatkan kebolehpasaran graduan FSTM dalam pasaran kerja yang kompetitif, sama ada dalam sektor pembuatan makanan, pengurusan katering, perundingan, atau badan pensijilan.

FSTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak WAZAN atas sokongan dana yang diberikan bagi menjayakan program ini. Ketua Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Prof. Madya Dr. Ungku Fatimah Ungku Zainal Abidin, turut menegaskan komitmen fakulti untuk terus menjalin kerjasama dengan industri dalam menyediakan latihan terkini bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing, dan memenuhi keperluan semasa industri makanan negara.

 

Date of Input: 12/12/2025 | Updated: 12/12/2025 | shuhada_md

MEDIA SHARING

FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5100
Tiada
W, (02:22:39am-02:27:39am, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]