EDUPALM 2025 | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » EDUPALM 2025

EDUPALM 2025

PULAU CAREY, 25-27 JULAI 2025 – EDUPALM merupakan program peringkat kebangsaan yang dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Council, MPOC). Pada tahun ini, sejumlah 36 pelajar dan 4 pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Makanan telah dijemput sebagai peserta, bersama pelajar dan pensyarah dari UCSI University dan Persatuan Regenerasi dan Kelestarian Alam (REGENERASI). Program ini diadakan bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada mahasiswa universiti awam dan swasta berkenaan kepentingan memastikan kelestarian alam sekitar bagi sektor sawit Malaysia secara khususnya, dan sektor sawit global secara umumnya.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan sesi pengenalan, taklimat program, dan pembahagian kumpulan di kalangan peserta oleh pihak penganjur. Ini diikuti dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh wakil dari SD Guthrie Berhad dan MPOC berkenaan manfaat dan sumbangan industri sawit kepada negara dan pengguna dari segi ekonomi, kelestarian alam sekitar, dan keselamatan produk makanan. Ceramah tersebut turut merangkumi kepentingan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil, MSPO), Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (Roundtable on Sustainable Palm Oil, RSPO), manfaat minyak sawit, dan penggunaan hasilan sawit dalam pelbagai sektor terutamanya sektor makanan.

Pada hari kedua, para peserta dibawa ke Palm Oil Experience Centre (POEC) untuk lawatan lapangan Know Your Palm Oil (KYPO) yang dipimpin oleh wakil dari SD Guthrie Berhad. Di sini, peserta diberi pendedahan terhadap amalan dan teknologi terkini dalam penuaian buah sawit dan penjagaan ladang sawit. Tidak ketinggalan adalah lawatan ke Plantation Museum Carey Island di mana peserta dapat mempelajari sejarah perladangan sawit dan teknik penuaian buah sawit di Malaysia. Sesi petang dipenuhi dengan aktiviti Palm Oil Adventure Race dimana 10 kumpulan peserta bertanding untuk memperoleh kejuaraan dengan cara menyelesaikan beberapa tugasan yang menguji pengetahuan mereka berkenaan industri sawit Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, 10 kumpulan peserta ini turut bertanding dalam penghasilan video pendek yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna berkenaan industri dan manfaat sawit. Semua video ini ditayangkan secara umum di laman-laman media sosial, dan semasa majlis penutup pada hari ketiga program. Sesi tayangan video ini diikuti dengan pembentangan ringkas oleh semua wakil kumpulan yang turut merangkumi pengalaman mereka sepanjang program EDUPALM berlangsung. EDUPALM diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua kumpulan pemenang dan ucapan penutup oleh wakil MPOC.

 

Tarikh Input: 01/08/2025 | Kemaskini: 01/08/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5101
Tiada
X, (08:41:05am-08:46:05am, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]