HARI INOVASI MENU PELAJAR 2026 | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » HARI INOVASI MENU PELAJAR 2026

HARI INOVASI MENU PELAJAR 2026

Serdang, 22 Januari 2026 – Buat kali kedua Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan mengadakan kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®). Kerjasama dalam pengajaran subjek Inovasi Makanan dalam Perkhidmatan Makanan (FSM4209) semester 1 2025/2026 telah mencapai matlamatnya dan memberikan manfaat kepada pihak FSTM dan MyAgeing®.

 

Alhamdulillah, kita telah berjaya melaksanakan majlis ini untuk menghargai projek Inovasi Menu Pelajar bertemakan Menu untuk Warga Emas yang dijayakan oleh pelajar-pelajar semester 5 program Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdK).

 

Projek inovasi ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus Inovasi Makanan Kajian dalam Perkhidmatan Makanan (FSM4209) di mana pelajar didedahkan dengan proses penghasilan menu yang setara dengan amalan dalam industri perkhidmatan makanan, dari peringkat awal hingga ke tahap pemasaran.

Inovasi menu ini memerlukan pelajar mengaplikasikan semua ilmu pengetahuan yang dipelajari untuk mencipta formulasi menu baharu secara hands-on dan berkumpulan menggunakan pendekatan sains dan teknologi, bermula dengan penjanaan idea dan konsep menu, penyaringan idea, pengiraan kos, hiasan, penghasilan dan pengujian deria prototaip menu baharu di Makmal Perkhidmatan Makanan (Food 6) dan juga Makmal Penyediaan Makanan MyAgeing®, penambahbaikan menu untuk kepuasan pelanggan, penilaian, persembahan hidangan dan kebolehpasaran menu sehingga pelancaran prototaip menu baharu yang diperkenalkan kepada umum.

Nilai tambah yang diperoleh memberi kelebihan kepada graduan untuk bersaing di pasaran kerja dan meningkatkan kebolehpasaran mereka. Menu-menu yang dihasilkan tahun ini juga telah mendapat perlindungan hak cipta UPM untuk tujuan pengkomersilan.

 

Sekalung tahniah diucapkan kepada pemenang, antaranya Menu Terbaik Keseluruhan (Butterfly Pea Noodles with Barramundi Fish Singgang served with Avocado Sambal), Tempat Kedua Menu Terbaik (Chicken Roulade served with Light Spicy Turmeric Coconut Curry Sauce), Menu Berpotensi untuk Pengkomersilan (Lontong Labu Nasi Impit Bayam with Sambal Jagung), Multimedia Terbaik (Mushroom-Tempeh Skewer with Multinut Sauce and Sweet Potato Nasi Impit), Hiasan Reruai Terbaik dan Brosur Terbaik (Jayeon Gujeolpan with Dakgomtang).

 

Setinggi penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Hazrina Ghazali dan Dr. Nurul Hanisah Juhari, staf fakulti, serta jawatankuasa program yang telah berusaha gigih dalam penganjuran Majlis Hari Inovasi Pelajar 2026. Semoga kejayaan ini membakar semangat kita semua untuk terus berusaha menjadi yang terbaik dan terus kreatif dalam mencipta menu baharu di masa hadapan. 

Tarikh Input: 03/02/2026 | Kemaskini: 03/02/2026 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5101
Tiada
W, (05:40:15pm-05:45:15pm, 24 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]