Khamis, 23 Januari 2025 – Julung kalinya Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) mengadakan kerjasama strategik dengan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan. Kerjasama dalam pengajaran subjek Inovasi Makanan dalam Perkhidmatan Makanan (FSM4209) semester 1 2024/2025 telah mencapai matlamatnya dan memberikan manfaat kepada pihak FSTM dan MyAgeing®. Alhamdulillah, kita telah berjaya melaksanakan majlis ini untuk menghargai projek Inovasi Pembangunan Menu bagi Warga Emas yang dijayakan oleh pelajar-pelajar semester 5 program Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdK). Projek inovasi ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus Inovasi Makanan Kajian dalam Perkhidmatan Makanan (FSM4209) di mana pelajar didedahkan dengan proses penghasilan menu yang setara dengan amalan dalam industri perkhidmatan makanan, dari peringkat awal hingga ke tahap pemasaran.
Inovasi menu ini memerlukan pelajar mengaplikasikan semua ilmu pengetahuan yang dipelajari untuk mencipta formulasi menu baharu secara hands-on dan berkumpulan menggunakan pendekatan sains dan teknologi, bermula dengan penjanaan idea dan konsep menu, penyaringan idea, pengiraan kos, hiasan, penghasilan dan pengujian deria prototaip menu baharu di Makmal Perkhidmatan Makanan (Food 6) dan juga Makmal Penyediaan Makanan MyAgeing®, penambahbaikan menu untuk kepuasan pelanggan, penilaian, persembahan hidangan dan kebolehpasaran menu sehingga pelancaran prototaip menu baharu yang diperkenalkan kepada umum. Nilai tambah yang diperoleh memberi kelebihan kepada graduan untuk bersaing di pasaran kerja dan meningkatkan kebolehpasaran mereka. Menu-menu yang dihasilkan tahun ini juga telah mendapat perlindungan hak cipta UPM untuk tujuan pengkomersilan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pemenang, antaranya Menu Terbaik Keseluruhan (Plant-based Mushroom Steak served with Mashed Cauliflower and Black Pepper Sauce), Tempat Kedua Menu Terbaik (Punten Letup Sambal Meledak served with Jus Nesbar), Menu Berpotensi untuk Pengkomersilan (Plant-based Mushroom Steak served with Mashed Cauliflower and Black Pepper Sauce), Multimedia Terbaik (Minty Mango Dory served with Pumpkin-infused Flatbread), Hiasan Reruai Terbaik (Purple Gnocchi with Homemade Soy Masak Lemak Sauce) dan Brosur Terbaik [Dumshion (Dumpling Otak-otak and Creamy Chicken Mushroom) with Cuko Sauce]. Setinggi penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Hazrina Ghazali dan Dr. Nurul Hanisah Juhari, staf fakulti, serta jawatankuasa program yang telah berusaha gigih dalam penganjuran Majlis Hari Pembangunan Menu Warga Emas. Semoga kejayaan ini membakar semangat kita semua untuk terus berusaha menjadi yang terbaik dan terus kreatif dalam mencipta menu baharu di masa hadapan.
Tarikh Input: 18/02/2025 | Kemaskini: 18/02/2025 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA