Serdang, 27 September 2025 - Pada 27 September 2025, seramai 52 orang peserta dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Prince of Songkla Surat Thani University Campus, Thailand (PSU) telah menyertai program “Know Your Neighbour 5.0” yang telah dijalankan oleh Majlis Perwakilan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FOSTECH) oleh Exco Outreach Sesi 2024/2025. Program berkonsepkan interaktif ini membuka ruang perkongsian budaya, pendidikan, serta perkembangan teknologi makanan terkini antara kedua-dua negara, sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan akademik dan persahabatan rentas sempadan. Program ini bukan sahaja sekadar acara bersemuka secara dalam talian, malah ia juga berperanan sebagai jambatan penghubung yang membawa peserta daripada dua negara berjiran untuk bersama-sama berkongsi ilmu, pengalaman, dan perspektif yang berbeza.
Gambar 1: Sesi majlis pembukaan
Pengisian program ini lebih menarik dengan perkongsian daripada Dr. Nurul Hanisah Binti Juhari (UPM) dan Associate Professor Dr. Paramee Noonim (PSU) yang memperkenalkan program akademik yang ditawarkan di universiti masing-masing. Perkongsian ini bukan sahaja memberi gambaran tentang kekuatan akademik, malah membuka peluang kepada peserta untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia dan Thailand. Mereka juga berkongsi mengenai keunggulan dan keistimewaan universiti masing-masing seperti menggunakan teknologi yang canggih untuk memproses dan membangunkan produk makanan baharu. Perkongsian ini membuka minda peserta mengenai keupayaan universiti di rantau Asia Tenggara untuk bersaing di peringkat global melalui inovasi dalam bidang makanan dan sains teknologi.
Gambar 2: Sesi pengenalan fakulti kedua-dua buah negara
Selain itu, sesi bersama wakil pelajar dari kedua-dua universiti turut memberi warna dan nilai tambah kepada program. Para pelajar berkongsi tentang kehidupan kampus, budaya unik, serta aktiviti-aktiviti yang mencerminkan identiti universiti mereka. Melalui perkongsian ini, peserta bukan sahaja memperoleh maklumat akademik, malah turut memahami gaya hidup dan nilai budaya yang membentuk pengalaman pembelajaran di Thailand dan Malaysia. Hal ini menjadikan program lebih dekat dengan realiti kehidupan pelajar antarabangsa.
Gambar 3: Sesi perkongsian dari pelajar UPM dan PSU
Seterusnya, sesi perkongsian mengenai isu-isu semasa dalam bidang makanan turut diadakan. Dr. Asyrul Izhar Bin Abu Bakar dari UPM membincangkan topik berkaitan Keselamatan Makanan dan Kelestarian di Malaysia, manakala Associate Professor Dr. Paramee Noonim dari PSU mengetengahkan isu-isu terbaru dalam industri makanan di Thailand. Perbincangan ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang cabaran serta peluang yang dihadapi oleh kedua-dua negara dalam menghadapi perubahan landskap industri makanan global.
Gambar 4: Sesi perkongsian dari pensyarah UPM dan PSU
Bagi menjadikan program lebih menarik dan santai, peserta turut disajikan dengan aktiviti ‘Mini Games’ yang berbentuk kuiz interaktif. Aktiviti ini bukan sahaja menguji pengetahuan peserta, tetapi juga mewujudkan suasana yang lebih mesra dan menyeronokkan. Elemen santai ini dilihat berjaya mengimbangi sesi perkongsian ilmu dengan aktiviti interaktif, sekaligus mengukuhkan semangat kerjasama antara peserta.
Gambar 5: Sesi Mini Games
Secara keseluruhannya, program ”Know Your Neighbour 5.0” bukan hanya bersifat pendedahan ilmu semata-mata, tetapi merupakan langkah proaktif untuk memperkukuh kefahaman, meningkatkan keterbukaan budaya, serta mengeratkan hubungan persahabatan antara pelajar dan tenaga akademik dari kedua-dua negara. Inisiatif seperti ini juga sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi untuk membentuk generasi pelajar yang berdaya saing, berfikiran global, dan menghargai kepelbagaian budaya. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas, bukan sahaja melibatkan pelajar dan pensyarah, tetapi juga pihak industri. Dengan itu, ia dapat menjadi platform strategik untuk membina jaringan yang lebih kukuh, memacu kerjasama serantau, dan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan serta inovasi di peringkat antarabangsa.
Gambar 6: Sesi majlis penutupan
Tarikh Input: 17/10/2025 | Kemaskini: 17/10/2025 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA