KURSUS CERTIFIED HALAL EXECUTIVE TRAINING CHEP@FSTM | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » KURSUS CERTIFIED HALAL EXECUTIVE TRAINING CHEP@FSTM

KURSUS CERTIFIED HALAL EXECUTIVE TRAINING CHEP@FSTM

SERDANG, 17 February 2025 – Program Certified Halal Executive Programme (CHEP@FSTM) 2024 telah berlangsung secara fizikal selama 7 hari, dari 1 hingga 7 Oktober 2024, bertempat di Bilik Kuliah Siswazah 1, Bangunan Food 5, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini dijalankan dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dengan penyertaan 30 orang pelajar tahun akhir daripada program Bacelor Sains Teknologi Makanan (BSTM), Bacelor Sains (Pengajian Makanan) (BSPMK), Bacelor Sains (Operasi Pembuatan Makanan) (BSOPM), dan Bacelor Sains (Pengurusan Perkhidmatan Makanan) (BSPPM). Pada akhir kursus, peserta akan menjalani peperiksaan berdurasi 3.5 jam, di mana mereka memperoleh markah minimum sebanyak 70% untuk melayakkan diri menerima sijil Certified Halal Executive.

Program ini dianjurkan oleh FSTM dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen, Universiti Putra Malaysia (WAZAN UPM), Halal Development Corporation (HDC), dan FOSTECH sebagai penganjur bersama. CHEP@FSTM telah berjaya dilaksanakan dalam dua siri sebelum ini, iaitu pada 2021 dan 2022, serta telah melahirkan 120 Eksekutif Halal bertauliah. Program ini berpandukan MS 1500:2009 Halal Food – Production, Preparation, Handling, and Storage - General Guidelines, iaitu salah satu Sistem Pengurusan Berasaskan Piawaian (Standard-Based Management System) yang diamalkan dalam industri makanan. Piawaian ini bertujuan memastikan produk makanan yang dikeluarkan oleh pengilang memenuhi keperluan halal dan keselamatan makanan, sejajar dengan tuntutan pengguna.

Bagi tahun 2024, pelaksanaan CHEP@FSTM telah mendapat kelulusan dan sokongan kewangan daripada WAZAN UPM, membolehkan program ini diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja halal yang berkualiti. HDC, sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), memainkan peranan penting dalam pembangunan industri halal nasional serta bertindak sebagai penaja dan penyedia latihan.

Peserta telah didedahkan kepada latihan teori dan praktikal, yang merangkumi pengurusan halal, pematuhan halal, serta amalan industri. Latihan ini meningkatkan pemahaman mendalam terhadap piawaian halal dan memperkukuh kebolehpasaran peserta. Dengan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja halal, program ini menyediakan platform strategik bagi pelajar untuk menyumbang kepada industri halal di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Dengan menyertai CHEP@FSTM 2024, peserta bukan sahaja memperoleh sijil profesional dan meningkatkan kebolehpasaran, malah memperkasakan kemahiran mereka sebagai eksekutif halal yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Tarikh Input: 14/03/2025 | Kemaskini: 14/03/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5101
Tiada
X, (02:15:53am-02:20:53am, 13 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]