Kursus MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) Understanding & Implementing | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » Kursus MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) Understanding & Implementing

Kursus MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) Understanding & Implementing

SERDANG, 30 April 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Hubungan Dan Jaringan Industri (CiRNeT) UPM dan SIRIM Academy telah berjaya menganjurkan program latihan bertajuk "MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) – Understanding & Implementing" secara dalam talian pada 28 hingga 29 April 2025.

Program ini merupakan kali kedua Jabatan Sains Makanan FSTM menganjurkan latihan GMP yang kini dikenali sebagai GMP@foodtechUPM, setelah kejayaan penganjuran secara bersemuka sebelum ini. Edisi kedua kali ini menyaksikan penyertaan yang pelbagai melibatkan wakil industri, ahli akademik, pegawai penyelidik, serta pelajar tempatan dan antarabangsa.

Latihan ini dimulakan dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Pengarah Program GMP@foodtechUPM, Dr. Sarina Abdul Halim Lim daripada Jabatan Teknologi Makanan. Sesi latihan kemudiannya dikendalikan oleh jurulatih dan juruaudit berpengalaman, Pn. Lizawati Mohamad Darwi, yang membentangkan topik-topik utama seperti Hazards and Contamination, Premises Design & Facilities, Equipment, Control of Operation termasuk pengurusan Allergen, Incoming Material, Packaging dan Water.

Hari kedua diteruskan dengan modul berkaitan Maintenance and Cleaning & Sanitation Program, Chemical Control, Pest Control & Waste Management, serta Personnel Hygiene and Training. Sesi turut diterajui oleh jurulatih berpengalaman dari SIRIM Academy, Puan Siti Nur Hidayah Jaafar, yang memberi fokus kepada Product Information and Traceability, Transportation, Product Complaints & Recalls, Internal Inspection and Review, serta proses pensijilan GMP.

Para peserta memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap program ini yang dianggap penuh dengan panduan praktikal dalam melaksanakan standard GMP, menyediakan dokumentasi, dan menghadapi proses pensijilan. Perkongsian pengalaman dan kajian kes daripada pelbagai komoditi makanan turut memperkayakan nilai ilmu dalam kalangan peserta.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan FSTM dalam membina jaringan strategik antara universiti dan industri makanan. Hubungan erat seperti ini diyakini dapat membantu usahawan serta agensi kerajaan dalam usaha pemindahan ilmu, meningkatkan keselamatan dan kualiti produk makanan tempatan, serta mengembangkan pasaran produk ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Di samping itu, latihan ini juga menyumbang ke arah peningkatan tahap sekuriti makanan negara, sejajar dengan aspirasi FSTM dan UPM untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan dan teknologi makanan. Siri GMP@foodtechUPM akan diteruskan sebagai sebahagian daripada misi lebih besar FSTM untuk mempromosikan piawaian tinggi dalam pemprosesan makanan di seluruh Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Tarikh Input: 13/05/2025 | Kemaskini: 13/05/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5101
Tiada
X, (09:02:35am-09:07:35am, 13 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]