Seremban, 29 Jun 2026 – Seramai 36 orang pelajar tahun 3 Bacelor Sains Pengurusan dan Kualiti Makanan (BSPMK) telah mengadakan lawatan industri ke Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Seremban, Negeri Sembilan, diiringi oleh Dr. Maryam 'Adilah Binti Zainal Arifin bagi kursus FST4825: Perundangan Makanan. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi perundangan makanan, keselamatan makanan dan pematuhan peraturan dalam industri makanan supaya selari dengan hasil pembelajaran kursus.
Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. merupakan pengeluar minuman susu kultur probiotik yang terkenal di Malaysia. Sebagai sebuah syarikat makanan yang beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan kualiti yang ketat, lawatan ini amat relevan dalam membantu pelajar memahami kepentingan pematuhan terhadap perundangan makanan, pelabelan makanan, kawalan kualiti dan amalan pengilangan yang baik (Good Manufacturing Practices, GMP) dalam industri sebenar.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai sejarah penubuhan Yakult, produk yang dihasilkan serta peranan bakteria probiotik dalam meningkatkan kesihatan usus. Pelajar turut diberi penerangan mengenai proses pengeluaran Yakult dan langkah-langkah kawalan keselamatan makanan yang diamalkan oleh syarikat.
Seterusnya, pelajar dibawa melawat kilang pemprosesan Yakult untuk melihat sendiri proses pembuatan produk, bermula daripada penyediaan kultur bakteria, proses fermentasi, pembungkusan sehinggalah penyimpanan produk. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada pelaksanaan prosedur kawalan kualiti, kebersihan dan pematuhan terhadap keperluan perundangan makanan dalam memastikan produk yang dihasilkan adalah selamat dan berkualiti.
Lawatan diteruskan dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil syarikat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurusan industri makanan serta cabaran dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan makanan. Sebelum lawatan berakhir, satu sesi penyampaian cenderamata kepada wakil Yakult dan sesi bergambar telah diadakan sebagai tanda penghargaan atas layanan dan perkongsian ilmu yang diberikan.
Kesimpulannya, lawatan industri ini telah memberikan pengalaman dan pendedahan yang sangat bermakna kepada pelajar dalam memahami aplikasi perundangan makanan dan sistem kawalan keselamatan makanan dalam industri sebenar. Pengetahuan yang diperoleh diharapkan dapat meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan pematuhan peraturan dan pengurusan kualiti dalam menjamin keselamatan serta kualiti produk makanan.
Tarikh Input: 08/07/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA