NAFEC 2025: FSTM UPM Cemerlang Raih Dua Anugerah | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » NAFEC 2025: FSTM UPM Cemerlang Raih Dua Anugerah

NAFEC 2025: FSTM UPM Cemerlang Raih Dua Anugerah

PUTRAJAYA, 7 Mei 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melakar kejayaan sebagai penganjur bersama National Agro-Food Engineering Conference (NAFEC) 2025 yang telah berlangsung pada 6 hingga 7 Mei 2025 di Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Putrajaya.

Acara ini berjaya menarik penyertaan para akademik, penyelidik, industri, dan pelajar dari seluruh negara untuk berkongsi penemuan penyelidikan serta inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.

Dalam acara tersebut, FSTM turut berjaya merangkul dua anugerah berprestij. Dr. Asyrul Izhar Abu Bakar daripada Jabatan Teknologi Makanan telah dianugerahkan Pingat Perak bagi kategori Kejuruteraan Lepas Tuai dan Makanan atas pembentangan penyelidikannya yang bertajuk 'Effect of Mixing Time on the Physicochemical Properties of Buffalo Patties with Olive Oil as Fat Replacer'. Kajian ini turut melibatkan penyelidik bersama iaitu Nurul Naqibah Pambi, Dr. Nurul Izzah Khalid, Faridah Mohd Razali, dan Prof. Madya Dr. Ismail Fitry Mohammad Rashedi.

Sementara itu, seorang graduan dari program Bacelor Sains (Pengajian Makanan) dengan Kepujian (BSPMK), Nur Aziemah Adilah Asming, meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Tesis MSAE 2024 (Ijazah) menerusi tesisnya yang diselia oleh Dr. Nurul Izzah Khalid dan bertajuk 'Optimization of Cleaning-In-Place (CIP) Procedures of Milk Fouling Deposit Using Different Cleaning Parameters'.

Kejayaan ini merupakan bukti komitmen FSTM dalam menyokong agenda penyelidikan dan pembangunan industri makanan negara, selari dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk terus menjadi peneraju dalam bidang sains dan teknologi makanan.

FSTM akan terus komited untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan mengukuhkan hubungan kerjasama dengan pihak industri serta komuniti akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tarikh Input: 08/05/2025 | Kemaskini: 08/05/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5100
Tiada
X, (02:50:36pm-02:55:36pm, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]