Penggunaan Alat Pengesan Formaldehid Akan Diperluas | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» BERITA » Penggunaan alat pengesan formaldehid akan diperluas

Penggunaan alat pengesan formaldehid akan diperluas

FATIMAH (kiri) menunjukkan alat pengesan formaldehid.


KOTA KINABALU: Kejayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan alat mengesan formaldehid iaitu bahan pengawet beracun yang digunakan pada ikan akan diperluaskan penggunaannya di negeri ini.

Timbalan Dekan (Sumber Manusia) Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof Dr Fatimah Abu Bakar berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menunjukkan minat terhadap penggunaan alat pengesan berkenaan yang lebih pantas daripada kaedah konvensional.

Menurutnya, DBKK mensyaki penggunaan formaldehid dalam ikan dan produk ikan mungkin berleluasa di pasar-pasar sekitar bandaraya.

Justeru, pihaknya dihubungi untuk mendapatkan kaedah lebih pantas untuk mengesan kandungan formaldehid dalam makanan laut di negeri ini khususnya di bandaraya.

“Buat masa sekarang, alat pengesan ini belum ada di pasaran. Tetapi dalam tempoh kurang daripada sebulan kita sudah boleh bekalkan kepada pembeli.

“Alat pengesan ini melibatkan penggunaan enzim dan ia perlu diimport daripada luar negara,” katanya kepada media selepas memberikan taklimat ‘Device to Trace Formaldehyde in Fish’ di sini kelmarin.

Beliau berkata, menurut kajian yang dijalankan, tahap penggunaan formaldehid di negara ini belum lagi mencapai tahap berleluasa tapi rata-rata ada menggunakannya dalam produk ikan.

Katanya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan ada produk yang mencapai tahap dibenarkan dan ada juga yang melebihi tahap yang dibenarkan.

Fatimah berkata, mengikut Akta Peraturan Makanan 1985, tahap yang ditetapkan untuk penggunaan formaldehid dalam makanan segar adalah lima mikrogram/gram.

“Biasanya formaldehid terkandung semasa membuat tekstil, cat rumah ataupun mengawet mayat.

“Justeru, tidak sepatutnya ia ada dalam makanan terutamanya ikan kerana dalam jangka masa panjang, ia juga mampu menyumbang kepada penyakit kanser,” katanya.

Katanya, promosi mengenai alat pengesan itu juga diperluaskan sehingga ke Indonesia dan kementerian berkaitan di negara itu menunjukkan minat terhadap peralatan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bukan mahu membuang kaedah sedia ada. Tetapi, penghasilan alat penegsan itu untuk menambah baik kaedah konvensional sebelum ini.

Ini kerana katanya, kaedah konvensional selalunya mengunakan bahan yang bertoksid untuk ekstrak bahan dan mengambil masa sekurang-kurangnya sehari.

Fatimah berkata, dengan alat pengesan itu, ia hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk memperolehi keputusan pemeriksaan dan kepingan jalur yang diletakkan enzim boleh digunakan sebanyak 50 kali.

Katanya, dengan saiz yang hanya sebesar telefon pintar seperti ‘Blackberry’, ia mudah dibawa dan boleh digunakan terus di tapak tempat membuat pengesanan.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berkata penganjuran taklimat mengenai penggunaan dan kelebihan alat pengesan itu dapat memupuk kesedaran umum terhadap bahaya penggunaan bahan seperti formaldehid terhadap manusia.

Beliau berkata, pihak DBKK sentiasa mencari kaedah penyelesaian untuk mengesan penggunaan bahan kimia dalam ikan.

Katanya, ia bagi memastikan badan-badan bertanggungjawab peka dan bertindak aktif agar produk perikanan yang dijual di pasaran selamat dimakan.


Tarikh Input: | Kemaskini: | syamunazzah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
SXDdFAb~