NILAI, 15 JANUARI 2026 - Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) FoodSmart Kids @ School di Sekolah Kebangsaan Nilai Impian pada 15 Januari 2026. Program ini melibatkan penyertaan hampir 1,000 orang murid dan merupakan hasil kerjasama strategik bersama Pasar Grub, sebuah Syarikat Pengedar Berakreditasi Perusahaan Sosial, dengan sokongan penajaan daripada Syarikat DHL dan Kewpie Malaysia.
FoodSmart Kids @ School merupakan satu inisiatif berimpak sosial yang bertujuan memupuk persekitaran pemakanan sihat dalam kalangan murid sekolah serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemilihan makanan berkhasiat dalam kalangan generasi muda.
Program ini diterajui oleh pelajar Tahun Dua Program Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdK) melalui pelaksanaan kerja kursus Pembelian dalam Perkhidmatan Makanan (FSM3606). Menerusi program ini, pelajar berpeluang mengaplikasikan pembelajaran bilik kuliah ke dalam operasi perniagaan sebenar. Mereka memperoleh pengalaman praktikal dalam memahami sistem rantaian bekalan makanan, membangunkan menu yang sihat dan menarik, serta memastikan kelestarian sumber makanan selaras dengan keperluan dan cita rasa pelanggan.
Program CSR ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan seperti ceramah kesihatan, aktiviti permainan serta penjualan makanan sihat. Seorang Pegawai Kesihatan dari Klinik Kesihatan Awam Nilai telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan pemakanan sihat, dengan penekanan khusus terhadap konsep Suku-Suku Separuh, yang menegaskan kepentingan pengambilan nutrisi seimbang dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar.
Selain itu, pelajar FSTM telah menyediakan menu sihat berasaskan sayur-sayuran seperti Mixed Garden Salad dan Cucur Sayuran untuk jualan, di samping menilai tahap penerimaan kanak-kanak sekolah terhadap produk makanan sihat tersebut. Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah serta penyertaan yang memberangsangkan daripada para murid.

Program FoodSmart Kids @ School menerima kerjasama dari Syarikat Korporat

Sekolah Kebangsaan Nilai Impian telah menyertai Program FoodSmart Kids @ School anjuran FSTM

Aktiviti interaktif dan permainan bersama murid sekolah

Penyediaan dan penjualan menu sihat di kantin sekolah

Pelajar Tahun 2 Program Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdK) menerajui Program FoodSmart Kids @ School
Tarikh Input: 22/01/2026 | Kemaskini: 22/01/2026 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA