Kuala Terengganu, 6 Mei 2025 - Majlis Perwakilan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FOSTECH) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) UPM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan program East Coast Learning Adventure, lawatan sambil belajar ke Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu yang ditaja oleh IOI Foundation dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). Program ini bertujuan untuk membolehkan pertukaran ilmu dan pengalaman yang lebih mendalam dalam bidang akademik dan juga peluang belajar dengan pelajar dari universiti lain serta pengenalan infrastruktur, kemudahan dan teknologi yang digunakan di institusi pengajian lain.
Tambahan pula, program ini telah disertai oleh 68 pelajar dari Tahun 1, 2 dan 3 Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), 2 staff dan 2 pensyarah pengiring, iaitu Dr Muhamad Hafiz Bin Abd Rahim dan Dr Nurul Shazini Ramli. Program ini telah dijalankan selama 4 hari iaitu bermula dari 3 Mei 2025 (Sabtu) sehingga 6 Mei 2025 (Selasa) secara fizikal di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pada 3 Mei 2025, program East Coast Learning Adventure bermula dengan majlis perasmian di Dewan Seminar Universiti Malaysia Terengganu. Majlis ini telah dirasmikan dengan ucapan daripada pengarah program pihak UPM, Kong Yen Shuen, pengarah program pihak UMT, Adam Saufi Mohd Anuar, penasihat FOSTECH UPM, Dr. Muhamad Hafiz Bin Abd Rahim dan pensyarah dari UMT, Dr Zamzahaila Mohd Zin.
Pada hari kedua, jawatankuasa UMT telah membawa peserta-peserta untuk melawat makmal dan fasiliti di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT. Agenda diteruskan dengan sesi perkongsian daripada Dr Nurul Shazini Ramli dari UPM yang bertajuk "Reducing Food Waste: Strategies for the Future". Selepas itu, peserta telah melawat ke kilang Tokku Lekor untuk memerhati proses pembuatan keropok lekor dengan lebih mendalam dan pergi ke Pantai Batu Buruk untuk melihat keindahan pantai Terengganu.
Seterusnya, pada 5 Mei 2025, pelajar UPM telah mengadakan lawatan ke SEAMEQ yang merupakan salah satu syarikat jualan keropok yang terkenal di negeri Terengganu. Peserta dapat melihat proses pembuatan keropok tersebut di kilang mereka. Aktiviti seterusnya ialah sesi forum bersama Dr. Muhamad Hafiz Bin Abd Rahim dari UPM dan Dr. Abdul Rais Abdul Rahman dari UMT dengan tajuk "Enhancing Food Safety Awareness Among Malaysian Consumers: Education and Outreach.". Para panel berkongsi pelbagai maklumat penting berkaitan aspek keselamatan makanan termasuk cara pengendalian makanan yang betul, risiko pencemaran makanan, serta peranan pengguna dalam memastikan makanan yang diambil adalah selamat dan berkualiti. Akhir sekali, aktiviti ‘Brainstorming Session’ dalam kalangan peserta program berlangsung. Setiap kumpulan melakukan pembentangan tentang refleksi berkaitan input yang dapat sepanjang 3 hari program.
Akhir sekali, pada 6 Mei 2025, iaitu hari terakhir program, pelajar UPM dan UMT telah mengadakan pembersihan pantai di Pantai Tok Jembal. Aktiviti komuniti ini bertujuan untuk memelihara kelestarian alam sekitar bagi menjaga ekosistem marin yang semakin terancam akibat pencemaran. Selepas selesai komuniti program, program ini sampai ke penghujung dan diakhiri dengan majlis penutupan yang bertempat di Dewan Seminar UMT.
Tarikh Input: 11/06/2025 | Kemaskini: 11/06/2025 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA