BOGOR, INDONESIA, 28 JANUARI 2026 - Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan aktiviti komuniti bersempena program jangkauan masyarakat antarabangsa ke Bogor, Indonesia. Program ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nur Hanani Zainal Abedin, dibantu oleh Dr. Foong Han Lyn dan Dr. Maryam ‘Adilah Zainal Arifin, serta melibatkan 4 pelajar pascasiswazah fakulti dan fasilitator program Smart Scientist. Aktiviti ini berlangsung di Kampung Cibulao, Puncak Bogor dan bertujuan memperkasa pemindahan ilmu dalam bidang sains makanan dan teknologi pemprosesan kepada komuniti setempat, khususnya pengusaha ladang kopi dan teh serta kanak-kanak di kawasan tersebut.
Pemandangan ladang teh (kiri) dan pokok kopi (kanan) di Kampung Cibulao, Puncak Bogor.
Program dimulakan dengan aktiviti valorisasi hampas kopi melalui penghasilan lilin beraroma kopi serta skrub badan berperisa kopi sebagai usaha memanfaatkan sisa buangan secara kreatif dan lestari. Inisiatif lestari alam ini membantu mengurangkan sisa hampas dan biji kopi yang terhasil semasa proses pengeringan, pemanggangan, dan pengasingan. Para peserta turut diberikan penerangan mengenai peranan pembungkusan dalam melindungi produk yang dihasilkan dan meningkatkan keselamatan pengguna melalui pemilihan bahan pembungkusan yang sesuai.
Aktiviti menghasilkan lilin beraroma kopi serta skrub badan berperisa kopi menggunakan hampas kopi.
Delegasi FSTM UPM bergambar bersama pengusaha ladang teh dan kopi.
Pendekatan pembelajaran secara praktikal diterapkan menerusi aktiviti Smart Scientist@Bogor, yang melibatkan kanak-kanak dalam pelbagai eksperimen kreatif. Sebagai contoh, aktiviti menghasilkan cat air menggunakan kulit buah-buahan, daun, dan bunga diperkenalkan bagi menunjukkan potensi bahan semula jadi sebagai sumber pigmen. Selain itu, kanak-kanak turut diperkenalkan konsep pigmen semula jadi yang berubah warna mengikut tahap keasidan (pH), sekali gus membantu peserta memahami prinsip sains asas secara interaktif dan meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains.
Aktiviti mewarna kanak-kanak menggunakan pigmen yang dihasilkan daripada sumber tumbuhan.
Pelaksanaan program jangkauan masyarakat antarabangsa ini mencerminkan usaha berterusan FSTM UPM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti, di samping menyemai nilai kelestarian dan inovasi melalui pendidikan sains yang menyeronokkan dan bermakna.
Disediakan oleh,
Dr. Foong Han Lyn
Tarikh Input: 16/02/2026 | Kemaskini: 16/02/2026 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA