Daripada Sisa kepada Nilai: Pendekatan Inovatif dalam Kelestarian Industri Tenusu
Industri tenusu memainkan peranan penting dalam sistem makanan global, menghasilkan pelbagai produk seperti susu, keju, yogurt, dan mentega. Ia merangkumi aliran proses yang menyeluruh, bermula dari pengumpulan susu hingga ke pengedaran dan pemulihan sisa. Industri ini beroperasi melalui beberapa peringkat termasuk penerimaan, penyimpanan, penjernihan, pasteurisasi, homogenisasi, pembungkusan dan penyimpanan. Setiap peringkat ini berpotensi menghasilkan pelbagai jenis sisa; pepejal, cecair dan gas yang boleh mencetuskan cabaran alam sekitar jika tidak diuruskan dengan betul (Sar et al., 2021).
Salah satu aspek paling kritikal dalam industri tenusu masa kini ialah komitmennya terhadap pengurusan sisa yang berkesan. Apabila pengeluaran tenusu terus berkembang bagi memenuhi permintaan pengguna, jejak ekologi industri ini turut meningkat (Shabir et al., 2023). Justeru, amalan mampan menjadi keperluan penting bagi mengimbangi kecekapan ekonomi dan tanggungjawab ekologi. Jenis sisa yang biasa dihasilkan dalam industri ini termasuk whey, sisa susu, air basuhan, bahan pembungkusan, kulit keju, serta pelepasan gas seperti ammonia dan metana (Ferdeș et al., 2022). Sisa-sisa ini perlu dikendalikan dengan betul bagi mengelakkan pencemaran dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
Pengurusan sisa yang cekap dalam sektor tenusu melibatkan pelbagai strategi inovatif. Sebagai contoh, whey yang merupakan hasil sampingan daripada pengeluaran keju boleh diproses menjadi produk bernilai seperti makanan haiwan, suplemen protein whey, laktosa untuk farmaseutikal, serta substrat untuk penapaian bagi menghasilkan bioetanol dan biogas. Ini bukan sahaja mengurangkan sisa, malah menjana pendapatan tambahan bagi pengeluar tenusu (Yadav et al., 2015). Begitu juga, enapcemar dari rawatan air sisa boleh dikompos atau dihadam secara anaerobik untuk menghasilkan baja organik yang kaya dengan nitrogen dan fosforus, bermanfaat untuk pertanian.
Sisa pembungkusan turut menjadi kebimbangan utama. Bagi mengatasinya, industri ini kini semakin beralih kepada bahan pembungkusan boleh kitar semula dan biodegradasi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik guna tunggal (Panou & Karabagias, 2023). Selain itu, sisa tenusu juga sedang diterokai bagi penghasilan produk bio-berasaskan seperti bioplastik, yang merupakan alternatif mampan kepada bahan berasaskan petroleum (Tripathi et al., 2021).
Proses rawatan air sisa dalam industri tenusu adalah menyeluruh dan melibatkan beberapa peringkat seperti penapisan, penggumpalan, pemendapan, rawatan anaerobik dan aerobik, penapisan membran, serta pemulihan. Kaedah-kaedah ini direka untuk membersihkan efluen sebelum dilepaskan ke alam sekitar, seterusnya mengurangkan pencemaran air (Shi et al., 2021). Selain itu, teknologi seperti penyerap gas (scrubber) dan biofilter digunakan untuk merawat pelepasan gas dan menukarkannya kepada hasil sampingan berguna seperti baja, manakala sistem penangkapan metana dan ammonia membantu dalam pemulihan tenaga serta pengurangan pelepasan (Pratt et al., 2012).
Kesimpulannya, pengurusan sisa dalam industri tenusu bukan sekadar keperluan peraturan, tetapi merupakan komponen penting dalam pengeluaran lestari. Dengan melaksanakan teknik pemulihan dan kitar semula yang maju, industri tenusu dapat mengurangkan kesan ekologi, meningkatkan kecekapan sumber, serta mempromosikan kelestarian alam sekitar sambil mengekalkan daya maju ekonomi.