Oleh: Muhammad Emirul Firdaus bin Elias
Pejabat Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Inovasi)

Audiobook dapat ditakrifkan sebagai suatu rakaman buku atau majalah yang dibacakan secara kuat atau lantang (Merriam-Webster, 2025). Ianya juga telah menjadi sebati dalam aktiviti seharian kita. Contohnya, aplikasi audiobook seperti Audible, Spotify, Google Play Books dan banyak lagi telah menjadi platform yang penting bagi umum untuk mendengar ceritera ketika mereka berjalan kaki dan membersihkan kawasan rumah. Justeru, penggunaan audiobook yang semakin popular ini meningkatkan kebimbangan dalam komuniti membaca di mana adakah audiobook lebih baik daripada pembacaan secara tradisional.
Sudah tentu para pembaca pernah mendengar podcast atau apa-apa bahan ketika melakukan aktiviti santai. Aktiviti mendengar audiobook sambil melakukan perkara yang lain meningkatkan keupayaan kita untuk menjalankan beberapa tugas dalam satu-satu masa. Hal ini menimbulkan perasaan produktif dalam diri dan membuatkan kita puas hati dengan kebolehan diri. Dalam pada itu, audiobook lebih mudah untuk didengari atas sifatnya yang mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Pembacaan secara konvensional adalah lebih terhad. Sesetengah orang terpaksa mencari tempat yang senyap dan jauh daripada khalayak ramai bagi mengurangkan gangguan bunyi agar fokus membaca mereka tidak terganggu.
Selain itu, audiobook juga menyediakan suatu pengalaman pendengaran yang istimewa buat pendengar. Lazimnya, audiobook didatangkan dengan pelbagai kesan bunyi dan lenggok suara pencerita dalam memastikan setiap butiran yang terdapat dalam penulisan dapat diterjemah dengan baik. Hal ini seterusnya memberikan impak kepada pendengar seolah-olah mereka berada di dalam situasi yang digambarkan oleh pencerita. Pengalaman pendengaran imersif ini membolehkan pendengar membayangkan suasana yang realisitik dan dapat meningkatkan kefahaman mereka dalam suatu cerita. Selalunya, genre seperti biografi dan sejarah amat berpadanan dengan pengalaman imersif ini. Namun begitu, genre sains dan statistik yang amat mementingkan maklumat yang jitu dan tepat memerlukan pembacaan secara konvensional. Hal ini demikian kerana, pembaca perlu memberikan tumpuan kepada setiap butiran yang rumit di mana tujuan ini tidak dapat dicapai dengan mudah melalui pendengaran semata-mata. Bahan rangsangan yang didapati dalam bahan bacaan membolehkan pembaca memperoleh maklumat secara visual yang lebih jelas untuk membolehkan maklumat yang diterima adalah tepat.
Di samping itu, aktiviti mendengar audiobook merupakan suatu aktiviti yang lebih berbaloi dan mempunyai kebolehaksesan yang tinggi. Pengguna hanya perlu mengakses aplikasi dalam peranti untuk mendapatkan pelbagai genre buku yang mudah dicari dan diperoleh termasuklah buku-buku edisi terhad yang sukar didapati daripada kedai buku. Hanya dengan satu langganan, pengguna audiobook dapat memperoleh pengalaman yang tidak terbatas. Umum juga mengetahui manusia dalam melaksanakan sesuatu perkara, mudah untuk termenung seketika sebelum kembali menyiapkan perkara tersebut dan agak sukar untuk berada dalam keadaan yang sentiasa fokus tanpa henti dalam satu-satu perkara. Misalannya seperti membaca di mana kita juga akan berhenti seketika setelah halaman demi halaman dibelek. Sekiranya kita membaca buku yang secara konvensional, kita lebih mudah untuk kembali kepada poin terakhir yang dibaca, jeda bagi menerima input untuk membina asas kefahaman konteks yang dibaca dan memproses maklumat. Bukanlah kita menidakkan kebolehan audiobook tetapi ianya lebih mencabar untuk dicapai kerana pendengar harus menggerakkan sendiri tempoh masa yang ingin dicapai di bar dan pendengar mungkin sukar untuk menjejaki momen tersebut.
Kesimpulannya, tidak mudah untuk kita membezakan antara audiobook atau pembacaan konvensional kerana kedua-duanya sama penting dalam meningkatkan kefahaman, pengalaman dan pengetahuan. Pendengaran dapat memudahkan cara kita mencari maklumat baharu dan mengembangkan daya fikiran, manakala pembacaan pula membantu mengekalkan pengetahuan sedia ada dengan lebih lama dalam ingatan. Jadi, pilihan yang bijak adalah untuk melakukan kedua-duanya kerana setiap daripada ia membentuk asas dalam menimba ilmu.
Rujukan
Audiobook. (2025). Retrieved 8/2/2025, from https://www.merriam-webster.com/dictionary/audiobook
Conner, K. (2025). Retrieved 8/2/2025, from https://blog.audiobooks.com/2024/04/can-audiobooks-make-you-smarter/
Heid, M. (2018). Are audiobooks as good for you as reading? here’s what experts say.
Retrieved from https://time.com/5388681/audiobooks-reading-books/
Tarikh Input: 09/02/2026 | Kemaskini: 12/03/2026 | nur_jasni

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400, SERDANG,
SELANGOR MALAYSIA