TEKANAN DI TEMPAT KERJA PUNCA SINDROM METABOLIK? | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» ARTIKEL » TEKANAN DI TEMPAT KERJA PUNCA SINDROM METABOLIK?

TEKANAN DI TEMPAT KERJA PUNCA SINDROM METABOLIK?

Pada masa kini, tekanan jiwa menjadi penyakit yang sangat merbahaya kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan lain yang lebih teruk. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan malah mengurangkan produktiviti di tempat kerja. Profesor Dr. Bruce McEwen, saintis dari Amerika Syarikat telah mengkaji kaitan hormon dan tekanan jiwa selama lebih 4 dekad  menyatakan tekanan menyebabkan kerosakan kepada struktur saraf  otak yang mengawal daya ingatan, pembelajaran, dan emosi. Menurut beliau lagi, individu yang gagal mengurus tekanan akan mengalami perubahan fizikal dan fisiologi badan kesan daripada ketidakseimbangan hormon. Pada asasnya, hormon yang mengawal tekanan bersifat dwifasa iaitu memberi perlindungan dalam jangka masa pendek dan boleh mengakibatkan kerosakan kepada sistem badan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, apabila seseorang mengalami tekanan, fokus utama adalah mengekalkan kesimbangan untuk mengurus diri dan autonomi terhadap punca tekanan. Matlamat akhir sudah tentulah dapat mengatasi tekanan tanpa kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental.

Tidak dinafikan tekanan boleh mendorong kesan positif kepada sesetengah individu, namun tekanan mental, fizikal atau emosi yang melampau memberi kesan buruk seperti penyakit kardiovaskular, kemerosotan neuron dan sistem imun serta kecelaruan mental. Mekanisma tindak balas tingkah laku dan fisiologi bermula apabila otak menerima beban tekanan secara berterusan. Pendedahan melampau terhadap mediator sistem neuroendokrin akan mengaktifkan sistem imunisasi badan yang akhirnya menyebabkan tindak balas patologi lain seperti keradangan pada tisu badan. Penyakit keautominunan seperti atritis reumatoid, penuaan dan kanser adalah contoh penyakit berkaitan tindak balas imun,

Tekanan di tempat kerja biasanya bermula apabila individu melakukan kerja secara terpaksa tanpa kepuasan peribadi. Kajian yang dijalankan di hospital-hospital dan Pusat Kesihatan di Itali  menunjukkan pekerja yang melahirkan rasa tidak puas hati mengalami peratusan kemurungan yang tinggi  dan mengidapi penyakit kronik yang berkaitan dengan tekanan seperti hipertensi. Kemurungan seperti ini akan menimbulkan kesan negatif yang memuncak secara berterusan dan menjadikan individu tersebut kurang bermotivasi serta bersikap acuh tak acuh. Mereka juga kebiasaannya  mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti  merokok, minum alkohol dan mengambil makanan yang tinggi kalori secara berlebihan.

Tekanan psikologi di tempat kerja juga dianggap sebagai penyebab utama sindrom metabolik yang merangkumi kegemukan abdominal, darah tinggi, dan diabetes mellitus. Sindrom metabolik ini adalah 4 kali ganda lebih tinggi dalam individu yang mengalami tekanan jiwa yang kronik berbanding rakan sekerja yang mengalami tekanan yang sederhana. Sindrom metabolik juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara di kalangan wanita dan keupayaan kognitif yang rendah di kalangan mereka yang lebih muda.    Akibatnya, individu tersebut akan mengalami simptom gagal dijelaskan dalam bidang perubatan atau dikenali sebagai ‘Medically Unexplained Symptoms’ (MUS). Apabila penilaian klinikal dilakukan, individu tersebut tidak mempunyai sebarang diagnosis penyakit. Antara MUS yang selalu dilaporkan ialah gangguan tidur yang berulang dalam tempoh 24 jam atau dikenali sebagai  ‘ritma sirkadian’ .  Gangguan sirkadian yang kronik menyebabkan fisiologi otak dan tingkah laku menjadi tidak teratur, hormon metabolik berubah dan berat badan mula bertambah. Eksperimen ke atas tikus yang didedahkan dengan gangguan ritma sirkadian menunjukkan kehilangan neuron dan saiz dendritik yang semakin berkurang pada bahagian otak yang menerima signal tekanan. Selain itu, gangguan berkaitan tekanan emosi mengubah proses kawal atur tenaga di antara sistem imun, sistem saraf dan tisu adipos yang mengaruh kegemukan.

Dalam keadaan tekanan jiwa yang melampau, otak memerlukan lebih tenaga dan situasi ini mempengaruhi selera makan, jumlah makanan yang diambil serta pengeluaran dan penyimpanan tenaga oleh sistem badan. Individu yang berada dalam keadaan tekanan biasanya akan mengambil makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak untuk menghilangkan tekanan yang berterusan. Akibatnya, individu tersebut berisiko untuk mengidap sindrom metabolik dan kegemukan. Pada peringkat awal, kerintangan terhadap insulin (hormon yang mengawal kepekatan glukosa) dan leptin (hormon yang mengawal keseimbangan tenaga dengan merencat rasa lapar) akan berlaku mengakibatkan komplikasi vascular dan penurunan tahap kognitif.  Tisu adipos yang meningkat menggalakkan lagi penyusupan makrofaj (monosit yang terdapat pada dinding pembuluh darah dan tisu perantara, terutamanya di kawasan yang mengalami jangkitan) dan menjadikan keradangan semakin teruk.

Kerintangan terhadap insulin bukan sahaja berlaku kepada pesakit sindrom metabolik, tetapi juga pengidap skizofrenia dan mereka yang mengalami kemurungan yang teruk serta tekanan mental yang kronik. Pada peringkat awal, tindak balas kerintangan insulin adalah perlu untuk membekalkan tenaga yang berterusan apabila mengalami tekanan.  Walaubagaimanapun tekanan  psikososial yang berpanjangan menyebabkan sistem badan tidak lagi berupaya  melawan situasi tersebut. Tindak balas tekanan seterusnya mengaktifkan paksi hipotalamik-pituitari-adrenal (HPA) yang memacu pengeluaran hormon glukokortikoid. Hormon tersebut akan menyebabkan seseorang itu makan secara berlebihan dan mengakibatkan kegemukan walaupun pada masa itu kepekatan leptin adalah tinggi.

Dalam badan manusia, peningkatan insulin dan kortisol dipengaruhi oleh pemilihan makanan yang tinggi lemak dan gula. Diet tersebut akan meningkatkan kandungan lemak visera, menyebabkan lemak dalam darah tidak normal, gangguan tolerans glukosa, kerintangan insulin, penyakit darah tinggi, dan semua tanda-tanda awal gangguan pengambilan makanan. Kerintangan insulin mendorong lipolisis yang menghasilkan lemak toksik seperti seramida yang seterusnya mengubah fungsi mitokondria dan pengisyaratan insulin. Lemak dan seramida ini boleh melepasi rintangan darah-otak mengakibatkan tekanan oksidatif, keradangan pada saraf dan boleh menyebabkan demensia melalui pengumpulan asid lemak bebas.

Kegemukan merupakan masalah kesihatan awam yang paling utama yang memberi impak terhadap kesejahteraan fizikal dan mental. Kajian pengimejan neuro terhadap individu obes menunjukkan saiz otak yang lebih kecil pada bahagian yang mengawal fungsi kognitif berbanding individu normal. Eksperimen terhadap tikus teraruh kegemukan pula menampakkan kehilangan sel dendritik dan perubahan struktur pada bahagian prefrontal korteks tikus. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, makanan yang tinggi lemak dan gula boleh menyebabkan ketagihan, menggalakkan kebergantungan dan tabiat makan secara berlebihan dengan mengaktifkan sistem ganjaran otak sama seperti menggunakan dadah opiod dan dopamin. Baru-baru ini, keputusan kajian tentang perkaitan antara tekanan dan tabiat makan yang tidak sihat terhadap wanita yang berpendapatan rendah menunjukkan individu yang menghadapi tekanan mengalami penyahhrencatan yang lebih tinggi dan makan lebih banyak terutamanya makanan snek serta mempunyai kualiti diet yang rendah. Penulis terbabit menilai tiga tabiat makan responden menggunakan borang soal selidik psikologi iaitu pembatasan (restrainst), penyahrencatan (disinhibition) dan kelaparan (hunger) apabila mereka dihidangkan makanan yang enak dalam kuantiti yang banyak. Pembatasan bermaksud mengelakkan diri daripada mengambil makanan secara sedar; penyahrencatan bermaksud makan mengikut emosi dan kelaparan bermaksud makan menurut nafsu akibat tekanan psikologi.  Keputusan kajian ini  mengesahkan bahawa pengeluaran glukokortikoid akibat  tekanan yang berterusan boleh mengubah corak pengambilan makanan.

Pengambilan makanan secara berlebihan akan mengaktifkan pengeluaran leptin dan mendatangkan pelbagai penyakit berkaitan tekanan yang lain. Perubahan ini membawa kepada pengumpulan lemak pada lapisan viscera atau abdomen dan hati. Lemak pada bahagian abdomen mempunyai bilangan saraf penerima glukokortikoid yang lebih tinggi berbanding dengan lemak pada bahagian lapisan bawah kulit.  Keadaan ini menyebabkan proses penguraian lemak meningkat dalam badan dan menghasilkan asid lemak bebas yang toksik. Molekul-molekul ini bertindak sebagai antigen dimana ia mengaktifkan sistem imun, menyebabkan keradangan dan seterusnya mengurangkan tenaga kepada otak.

Kerintangan insulin dan leptin juga dipengaruhi oleh peningkatan glukokortikoid dan kegemukan. Dalam konteks ini, individu yang mengalami gangguan makan lebih berisiko kepada tekanan yang menyebabkan pertambahan lemak pada bahagian abdomen. Oleh itu, apabila berdepan dengan tekanan, bukan sahaja glukokortikoid dihasilkan malah sitokin pro keradangan juga dihasilkan. Individu obes yang mengalami tekanan emosi dan psikologi akan menggalakkan lagi keradangan. Ini adalah kerana ketidakaturan sesetengah adipokin yang kronik memberi kesan yang buruk terhadap pengisyaratan insulin dan leptin. Contohnya, tabiat makan masyarakat barat yang mengambil banyak makanan tinggi gula dan lemak tepu boleh menyumbang kepada kegemukan yang serius berpunca daripada tindak balas keradangan yang berlaku  pada otak dan organ-organ lain. 

Tekanan di tempat kerja memberikan impak negatif kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja dan juga kepada organisasi berkaitan pekerjaan. Satu kaji selidik yang dilakukan oleh agensi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Eropah menunjukkan 51% pekerja mengalami tekanan di tempat kerja.  Tekanan yang berterusan seperti yang dinyatakan sebelum ini boleh mengaktifan sistem imun dan memberi kesan kepada fungsi otak. Penghasilan oksidan yang tinggi ketika mengalami tekanan mengakibatkan keradangan kronik. Peningkatan kes  kemurungan dan kualiti diet yang merosot  menyumbang kepada indeks jisim tubuh yang lebih tinggi dan sindrom metabolik di kalangan pekerja.  Obesiti juga mengurangkan pergerakan individu di tempat kerja dan meningkatkan risiko kecederaan dan kemalangan. Oleh itu, pengambilan antioksidan berpotensi merawat kecacatan kognitif. Individu yang mengalami tekanan jiwa digalakkan mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran kerana kandungan antioksidan dan fitokimia yang tinggi. Peranan pengurusan tertinggi dalam sesuatu organisasi amat penting dalam melaksanakan penilaian risiko awal tekanan di kalangan pekerja. Mereka perlu diberikan pengetahuan tentang punca tekanan di tempat kerja, kesan terhadap kesihatan mereka dan cara awal menangani perkara tersebut. Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam perlu digalakkan terutamanya kepada pekerja yang sedentari untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Keseluruhan artikel boleh dibaca di Dewan Kosmik, Mac 2018.

Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Nurul Shazini Ramli. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh dihubungi pada alamat email berikut: shazini@upm.edu.my

Rujukan:Ippoliti, F., Corbosiero, P., Canitano, N., Massoni, F., Ricciardi, M. R., Ricci, L., ... & Ricci, S. (2017). Work-related Stress, over-nutrition and cognitive disability. La Clinica terapeutica, 168(1), e42.

Tarikh Input: 11/03/2019 | Kemaskini: 11/03/2019 | shuhada_md

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
C1571678501