WORLD FOOD SAFETY DAY: SCIENCE IN ACTION | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN food
» ARTIKEL » WORLD FOOD SAFETY DAY: SCIENCE IN ACTION

WORLD FOOD SAFETY DAY: SCIENCE IN ACTION

Sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf kerja saintifik yang konsisten di balik layar untuk melindungi manusia daripada ancaman yang menggugat keselamatan makanan. Dengan tema, “Sains dalam Tindakan” pada tahun 2025, pengetahuan sains mendasari garis panduan bagi menjamin keselamatan makanan di seantero dunia. Tanpa komitmen yang jitu dan kebertanggungjawaban bersama yang ditonjolkan oleh para saintis yang terkemuka di seluruh dunia, ia adalah mustahil untuk memastikan integriti keselamatan makanan terutamanya ketika mendepani cabaran dunia yang tak terjangka seperti perubahan cuaca yang ekstrim dan kemunculan bakteria rentan antibiotik atau dikenali sebagai superbug.

Dalam skop keselamatan makanan, penilaian saintifik yang menyeluruh dikendalikan oleh pakar yang menganggotai jawatankuasa FAO/WHO dalam aditif makanan (JECFA), FAO/WHO dalam sisa racun perosak (JMPA) dan FAO/WHO dalam penilaian risiko mikrobiologi. JECFA telah ditubuhkan pada 1956 dan berfokus kepada risiko aditif makanan, ubat veterinar, toksin semulajadi, dan bahan pencemar dalam makanan dan makanan haiwan. Bagi mengangkat pendekatan berteraskan risiko, JEMRA telah ditubuhkan pada tahun 2000 untuk membuat penilaian risiko dan mencadangkan pengurusan risiko yang relevan bagi pencemaran yang disebabkan oleh patogen, virus dan parasit dalam seluruh rantaian bekalan makanan.

Tanggungjawab untuk menjaga keselamatan makanan tidak terhad kepada saintis malah kepada semua individu sama ada pemilik bisnes makanan, operator makanan sediaan di rumah dan pengguna. Setiap individu yang menyediakan, mengendalikan dan menjual makanan sama ada di rumah, pasar tani, fasiliti pemprosesan makanan, dan kedai runcit harus mempraktikkan amalan terbaik yang mematuhi peraturan dan standard makanan. Pendidik di tadika, sekolah dan institusi pengajian tinggi mempunyai peranan yang besar dalam menerapkan pengetahuan yang betul mengenai keselamatan makanan seperti mengenali dan menghapuskan bencana dalam makanan, mengelakkan pencemaran silang, mempraktikkan langkah pembasuhan tangan yang betul serta mengaplikasi kaedah kebersihan dan sanitasi ke atas permukaan bersetuhan makanan yang efektif.

Tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia:

2020 – Makanan selamat adalah tanggungjawab semua “Food safety, everyone’s business”

2021 – Makanan selamat sekarang untuk kesihatan masa hadapan “Safe food now for a healthy tomorrow”

2022 – Makanan lebih selamat untuk lebih sihat “Safer food, better health”

2023 – Standrd makanan menyelamatkan nyawa “Food standards save live”

2024 – Keselamatan makanan: bersedia untuk perkara yang diluar jangkaan “Food safety: prepare for the unexpected”

 

Artikel ini disediakan oleh Dr. Nurul Hawa Ahmad. Beliau adalah pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM dan penyelidik bersekutu interim Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, UPM. Email: nurulhawa@upm.edu.my

Tarikh Input: 12/06/2025 | Kemaskini: 12/06/2025 | nur_jasni

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5100
Tiada
X, (06:58:37pm-07:03:37pm, 01 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]