KEJAR UNTUNG, CETEK ILMU | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» ARTIKEL » KEJAR UNTUNG, CETEK ILMU

KEJAR UNTUNG, CETEK ILMU

PENSYARAH Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nurul Shazini Ramli, dan Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia Dr. Ismail Fitry Mohammad Rashedi, menjelaskan sebilangan pengusaha produk yang tegar menggunakan promosi berbahaya bagi melariskan produk jualan mereka adalah golongan yang mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira keselamatan pengguna.

 "Pengusaha produk yang menggunakan promosi berbahaya dan keterlaluan ini hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka tidak peduli dengan keselamatan pengguna asalkan mereka mendapat keuntungan seperti yang diingini.“Situasi ini terjadi kerana para pengusaha yang terlibat mungkin tidak mempunyai ilmu mencukupi berkaitan produk suplemen yang dihasilkan. Mereka hanya memperoleh maklumat daripada Internet dan mengaku bahawa produk mereka memiliki khasiat-khasiat tertentu tanpa melakukan sebarang ujian klinikal."Penguatkuasaan yang kurang serta ruang promosi yang terbuka luas di media seperti iklan televisyen dan radio menggalakkan lagi perbuatan mereka tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna."Pengusaha produk yang baik tidak akan memberikan akuan (klaim) yang melampau atas produk yang mereka keluarkan. Mereka perlu mengetahui kebaikan dan keburukan setiap bahan yang digunakan dalam produk dan maklumat ini perlu disampaikan kepada pengguna secara telus supaya pengguna dapat membuat pilihan suplemen yang bersesuaian dengan mereka dan bukannya mengambil suplemen tersebut kerana terpengaruh dengan promosi yang dilakukan."Manakala sebagai pengguna pula kita perlu mempunyai ilmu dan sentiasa mengambil tahu tentang status pemakanan diri. Bertanyalah kepada doktor atau pakar pemakanan dan dietetik untuk mendapatkan pengesahan sebelum mengambil sebarang suplemen. Budaya untuk mengesahkan maklumat daripada penjual atau ejen-ejen ini perlu diterapkan kerana ada penjual yang hanya tahu menyebut kelebihan suplemen yanq dijual tanpa mengetahui sama ada ia benar-benar tepat atau tidak."Justeru, terapkan juga budaya membaca tentang suplemen daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai terutama artikel yang diterbitkan dalam jurnal. Ingat! Suplemen yang tidak sesuai atau penghasilannya yang berbahaya boleh memudaratkan kesihatan," jelas mereka yang tidak menggalakkan pengguna untuk mengambil suplemen secara berterusan kerana boleh meningkatkan risiko keracunan terutama suplemen yang mengandungi vitamin larut lemak seperti vitamin A.

Tidak Mampu Merawat

Mentakrifkan suplemen sebagai makanan tambahan yang merangkumi pil, kapsul, tablet, cecair atau serbuk yang mengandungi vitamin, mineral, herba atau asid amino yang bertujuan untuk meningkatkan Pengambilan bahan-bahan tersebut dalam diet, kedua-dua mereka mengakui akan kebanjiran produk suplemen di negara kita dek kerana Permintaan yang tinggi di kalangan pengguna.Pengambilan suplemen dapat melengkapkan keperluan nutrien vitamin dan mineral yang tidak mencukupi atau tidak dapat diambil menerusi diet, jadi kebanyakan pengguna beranggapan pengambilan suplemen dapat melindungi mereka daripada penyakit selain dapat membekalkan nutrien yang diperlukan dalam diet jika ia tidak diperoleh dengan secukupnya daripada menu harian."Situasi ini membuatkan segelintir masyarakat bergantung pada suplemen. Mereka percaya suplemen dapat menyembuhkan penyakit berbanding ubat hospital terutama bagi yang terdesak untuk mendapatkan bahan alternatif sebagai pengganti ubat-ubatan.”

Hakikatnya, hanya suplemen mengandungi bahan aktif yang telah dibuktikan menerusi kajian klinikal sahaja dapat merawat dan menyembuhkan penyakit. Namun begitu, suplemen sama sekali tidak dapat mengubati penyakit kronik seperti diabetes, kanser dan sebagainya. Sebaliknya, hanya sebahagiannya sahaja yang dapat mencegah penyakit. Contohnya, suplemen yang mengandungi kalsium dan vitamin D dapat mengelakkan tulang rapuh memandangkan fungsi suplemen itu sendiri yang terarah kepada proses mencegah dan bukannya merawat terutama penyakit kronik."Selain itu, sikap pengguna yang mencari jalan mudah untuk mencapai sesuatu matlamat seperti ingin kurus tanpa bersenam juga membuatkan mereka mudah terjebak dengan pengambilan suplemen terutama yang menggunakan kaedah promosi terlampau. Sikap inilah yang membuatkan sebilangan pengusaha produk mengambil kesempatan dengan mengeluarkan pelbagai produk kesihatan walaupun tiada kajian yang mengesahkan keselamatan dan keberkesanan produk tersebut. "Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa supplemen sebenarnya tidak perlu diambil oleh individu yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Suplemen juga tidak perlu dimakan jika menu harian dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Lebih penting, suplemen sepatutnya diambil atas nasihat doktor atau pakar pemakanan dan dietetik. Suplemen yang berkualiti mengandungi bahan aktif yang secukupnya dan mampu memberi kesan optimum kepada pengguna selain perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia," ujar mereka yang menasihatkan pengguna agar mengambil suplemen mengikut keperluan tubuh dan bukannya trend semasa.

 

Tarikh Input: 18/07/2019 | Kemaskini: 18/07/2019 | shuhada_md

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
SXESIA5~