KESIHATAN YANG BAIK BERMULA DARIPADA PERUT | FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
» ARTIKEL » KESIHATAN YANG BAIK BERMULA DARIPADA PERUT

KESIHATAN YANG BAIK BERMULA DARIPADA PERUT

Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

 

Tahukah anda lebih kurang 80% daripada sistem imun bermula daripada perut anda? Oleh itu, adalah penting untuk kita mempunyai sistem penghadaman yang baik yang dipenuhi dengan organisma baik, ataupun “probiotik”. Probiotik secara spesifiknya merujuk kepada mikroorganisma baik yang boleh dimakan serta dapat menyumbang kepada kesihatan usus. Prebiotik pula adalah sebarang bahan kimia yang dapat menjadi ‘makanan’ kepada probiotik ini. Lazimnya, masyarakat kita telah didedahkan dengan kebaikan probiotik ini selaras dengan percambahan minuman-minuman kultur di pasaran. Minuman Yakult misalnya, mengandungi lebih daripada 6.5 bilion Lactobacillus casei, manakala sesetengah minuman kultur boleh mencapai 30 bilion probiotik.

Anda juga boleh mendapat khasiat probiotik melalui makanan-makanan bertapai seperti tempoyak, teh kombucha, kimchi dan sebagainya. Malahan, pengambilan makanan-makanan ini mungkin lebih baik berbanding pengambilan susu kultur kerana lazimnya susu kultur mengandungi kandungan gula yang tinggi. Probiotik seringkali dikaitkan dengan kesihatan usus, seperti untuk mengubati cirit-birit, usus sengit, kolitis ulseratif, penyakit Crohn, penyerapan nutrien dan jangkitan kuman di usus. Tetapi, tahukah anda bahawa bukti-bukti semasa menunjukkan kebaikan probiotik ini boleh melangkaui kesihatan usus?

Dalam satu penemuan pada 2016, sekumpulan saintis dari Iran telah menemukan hubungan langsung antara penyakit Alzheimer dan kesihatan usus. Dalam kajian tersebut, saintis mendapati bahawa tikus obes yang diberi supplemen probiotik turut mempamerkan peningkatan pembelajaran dan memori. Ujian ke atas manusia pula menyusul, dengan 52 orang pesakit Alzheimer diuji menggunakan ujian rawak dan ujian buta ganda dua. Kesannya, pengambilan probiotik (Lactobacillus dan Bifidobacterium) selama 12 minggu telah berjaya meningkatkan kebolehupayaan kognitif pesakit Alzheimer. Melalui ujian Mini-Mental State Examination (MMSE), pesakit yang mengambil 200 mL probiotik sehari selama 12 minggu menunjukkan peningkatan signifikan dalam mengingati tarikh, mengira ke belakang, menamakan objek, mengulangi ayat dan menyalin gambar. 

Selain itu, darah pesakit tersebut juga peningkatan memberangsangkan dari segi penanda keradangan, iaitu secara khususnya penurunan molekul trigliserida, lipoprotein ketumpatan rendah (VLDL), high-sensitivity C-Reactive Protein (hs-CRP), dan penambahbaikkan kerintangan insulin. Ini adalah penting kepada pesakit Alzheimer, kerana keradangan dan kerintangan insulin adalah antara penyebab kepada penurunan fungsi mental. Pada masa yang sama, saintis juga membuktikan bahawa pesakit Alzheimer mempunyai komposisi probiotik yang berlainan berbanding manusia normal. Dikatakan bahawa membran darah di otak akan semakin bocor seiring dengan peningkatan usia, yang membolehkan sesetengah bahan yang dihasilkan oleh kuman menerjah masuk ke sistem otak. Penemuan ini membuktikan bahawa terdapat komunikasi di antara mikroflora usus, otak, sistem imun dan hormon (turut dikenali sebagai microbiota-gut-brain-axis). Oleh itu, saintis turut percaya perubahan pada sistem mikroflora manusia turut menyumbang kepada kesihatan mental yang lain seperti Parkinson dan kemurungan. 

Walaupun penghasilan neurotransmiter lazimnya berlaku di otak, terdapat banyak juga molekul-molekul ini dihasilkan di usus, seperti asetilkolinadan serotonin yang penting untuk pergerakan usus (dan juga mood). Oleh kerana hubungan antara usus dan otak yang rapat, gangguan keresahan dan kemurungan yang berlaku boleh diikuti dengan sakit perut atau sembelit atau seumpamanya. Oleh kerana pesakit Alzheimer menunjukkan peningkatan positif daripada segi penanda keradangan dan profil lipid, pengambilan probiotik juga mungkin dapat membaiki simptom-simptom diabetes dan penyakit kardiovaskular yang lain.

Penurunan kolesterol ini mungkin berlaku melalui pengikatan terus antara probiotik dan kolesterol, pemecahan jus hempedu yang boleh menghalang penyerapan semula, ataupun pengubahan kolesterol kepada sebatian lain seperti coprostanol yang akan dibuang terus ke dalam najis. Disebabkan jumlah mikroflora yang besar di dalam badan, ia juga berkeupayaan untuk menghalang kuman jahat daripada mengkoloni badan manusia dan meningkatkan sistem imun badan. Antara kesan baik probiotik ke atas sistem imun adalah seperti penghasilan protein kejutan haba, mengawal sel imun dan keradangan, meningkatkan perembesan mukus dan mengawal proses kematian sel.  

Lanjutan itu, ketidakseimbangan probiotik juga telah dikaitkan dengan reaksi alergi dan ekzema, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Walaupun mekanisme yang terlibat masih samar-samar, adalah dipercayai bahawa keadaan ini disumbangkan oleh kematangan sel imun yang terjejas, seperti sel T yang terlalu responsif kepada agen asing. Walaupun banyak bukti berkaitan probiotik telah diperolehi, namun kebanyakkannya adalah berdasarkan hubungan kausal dan masih belum dimuktamadkan. Oleh kerana probiotik adalah selamat untuk diambil, pengambilan probiotik sebagai ikhtiar alternatif adalah digalakkan. Namun begitu, ia bukanlah sebagai pengganti kepada ubat atau penjagaan hospital yang sedia ada.

 

 

 

Nama penulis: Muhamad Hafiz Abd Rahim (Dr.)
Jawatan: Pensyarah Kanan
Jabatan: Sains Makanan
Bidang Kepakaran: Bidang Utama (Bioteknologi Makanan) Sub-bidang (Teknologi Fermentasi)
Email: muhdhafiz@upm.edu.my
No. telefon: 03-9769 8373

Tarikh Input: 01/12/2021 | Kemaskini: 01/12/2021 | shuhada_md

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
SXDdVAU~